Jumaat, 7 Disember 2012

Syeikh Musa’ad bin Basyir bin Ali bin al-Haj Sa’d (Ulama Sudan)


Nama penuh beliau adalah Syeikh Musa’ad bin Basyir bin Ali bin al-Haj Sa’d dan beliau terkenal dengan panggilan al-Haj Sadirah.

Dilahirkan pada tahun 1363 hijrah di al-‘Usailaat daerah wilayah Khartoum, daripada sebuah keluarga yang soleh dan berilmu.
 Keturunan beliau bersambung silsilahnya kepada Sayyidina Husain bin Ali R.A.

Semasa beliau masih kecil, keluarganya berpindah ke kawasan Jazirah (selatan Khartoum), di satu kawasan pertanian yang dipanggil as-Sadirah. Ketika itulah Syeikh Musa’ad mula bertemu dengan guru pertama beliau iaitu Syeikh al-Fakki Umar bin Uthman bin Yusuf al-Umawi al-Uthmani (wafat 1396 hijrah) dan usianya baru 7 tahun. Syeikh al-Fakki Umar mempunyai hubungan persahabatan yang sangat rapat dengan ayahanda Syeikh Musa’ad, dan disebabkan perkara itulah Syeikh al-Fakki Umar sangat mengambil berat tentang Syeikh Musa’ad terutamanya selepas kewafatan ayahanda Syeikh Musa’ad, ketika beliau berusia 8 tahun. Sejak itu, Syeikh al-Fakki Umar mula mendidik dan mengajar Syeikh Musa’ad, dan antara kitab-kitab pengajian Syeikh Musa’ad yang awal ditadah olehnya adalah; Matan Ibnu A’syir dalam fiqh maliki dan dua syarahannya iaitu Miyaratul Shughra dan Miyaratul Kubra, kemudian kitab al-Akhdhari, al-‘Usymawi semuanya dalam fiqh maliki. Kemudian beliau menadah al-Ajrumiyah dalam ilmu nahu, dan menyambung kitab Syarah al-Syarnubi ala matan ‘Izziyah karangan Imam Abul Hasan as-Syazuli dalam fiqh Maliki. Kemudiannya kitab al-Risalah karangan Ibnu Abi Zaid al-Qirawani, Arba’in Nawawiyah, Riyadhus Solihin, al-Madkhal karangan Ibnul Haj al-Tilmasani, dan Muwatto’ riwayat Yahya al-Laithi. Beliau telah membaca Muwatto’ berkali-kali juga dengan riwayat al-Qa’nabi dan Muhammad Hasan al-Syaibani. Kemudian beliau membaca Zadul Muslim karangan as-Syinqiti dan gurunya al-Fakki Umar pernah membaca kitab tersebut di hadapan pengarangnya sendiri.

Seterusnya Syeikh Musa’ad membaca Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Aqrabul Masalik karangan Syeikh Dirdir (fiqh maliki) berserta Hasyiyah Imam al-Sowi padanya, Sunan Abi Daud, Tirmizi, al-Muqadimaat al-Mumahhidaat karangan Ibnu Rusyd al-Jadd, Sunan Ibnu Majah, Sunan Nasa’I, Mukhtasar Khalil berserta syarah al-Hattob dan Hasyiyah al-Dusuqi, Fathul Bari karangan Ibnu Hajar al-‘Asqolani, dan Syeikh Musa’ad telah membaca dihadapan gurunya Syeikh al-Fakki Umar kitab Sahih Bukhari 4 kali.

Kemudian beliau juga membaca kitab-kitab Jarah wa Ta’dil dan Rijal seperti Mizan al-‘Itidal karangan Imam al-Zahabi dan lain-lain. Beliau juga membaca Musnad Imam Ahmad bin Hanbal dan al-Mudawwanah al-Kubra dan semua kitab-kitab ini dibaca di hadapan gurunya dari kulit ke kulit.

Begitulah keadaan Syeikh Musa’ad yang melazimi gurunya lebih dari sepuluh tahun penuh dengan ilmu. Malah gurunya telah bermusafir bersamanya ke beberapa Negara dan setiap kali gurunya berjumpa dengan alim ulama, beliau akan meminta ijazah untuk Syeikh Musa’ad juga di samping dirinya. Dan antara guru yang memberi ijazah kepada Syeikh Musa’ad ialah Musnid Alamah Muhaddith Syeikh Abdul Hayyi al-Kattani ketika mereka menziarahi Maghribi pada tahun 1375 hijrah.

Syeikh Musa’ad juga kemudiannya telah belajar dengan ramai ulama yang besar, antaranya Musnid Dunia, Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani di Mekah pada tahun 1399 hijrah, dimana beliau mengkhatamkan Sahih Bukhari dan Sahih Muslim dengan Syeikh Fadani, dan sebahagian Sunan Tirmizi.

Begitu juga beliau mengkhatamkan Sohih Bukhari dan Sunan Nasa’i dengan Syeikh Muhammad al-Mukhtar as-Syinqiti, ayah kepada al-Faqih al-‘Allamah Muhammad bin Muhammad Mukhtar as-Syinqiti. 

Antara guru-guru beliau yang lain adalah;

- Syeikh Ismail Sodiq al-‘Adawi Mesir- beliau membaca di hadapan beliau Sohih Bukhari, beberapa juzuk Tafsir Jalalain, dan sedikit dari Aqrabul Masalik dan fiqh maliki.
- Syeikh Abdul Fattah as-Syinqiti – beliau membaca Mustadrak al-Hakim, dan Ibnu Malik dalam ilmu Nahu, dan Qiraat tujuh.
Berikut adalah guru-guru ijazah (di mana Syeikh Musa’ad tidak membaca pada mereka melainkan beberapa kitab-kitab sahaja).
- Syeikh Muhammad Najib al-Muthi’i – Pengarang takmilah Majmuk Imam Nawawi.
- Syeikh Abdullah al-Najdi.
- Syeikhul Islam Sinegal, Haj Ibrahim bin Abdullah al-kaulakhi.
- Syeikh Muhammad Hafiz al-Tijani.
- Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.
- Syeikh Muhammad Amin Haj Ibrahim al-Kaulakhi.
- Syarif Syeikhul Islam Ibrahim Soleh al-Husaiyni.
- Syeikh Abdullah bin Sa’d Ubbadi al-Lahji al-Hadhrami as-Syafie
- Syeikh Abul Hasan an-Nadwi.
- Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari.
- Syarif Idris al-Iraqi al-Fasi.
- Syeikh Abdullah Ahmad an-Nakhibi.
- Syeikh Abdul Qadir Karamatullah Bukhari.
- Habib Muhammad Ahmad a-Syatiri (pengarang Syarah Yaqut Nafis).

dan ramai lagi dari masyaikh yang mengijazahkan beliau.
Sekarang beliau berusia lebih kurang 71 tahun (kiraan tahun hijrah).

Sumber oleh Ustaz Akmal aka Muhajir Afriqiyy

Tiada ulasan:

Catat Ulasan