Ahad, 30 Disember 2012

Tok Guru Ayah Musa


Beliau lebih dikenali dengan panggilan Paksu Haji Musa dan hanya segelintir sahaja yang tahu nama sebenar beliau iaitu Syeikh Abdul Qadir Jailani Bin Mohd Yusuff. Beliau telah dilahirkan pada 27/12/1946 di Kampung Tebing Tinggi, Kota Bharu Kelantan oleh pasangan suami isteri Mohd Yusuf Bin Mohd Soleh dan Aminah Binti Che Wok.

Beliau memulakan pendidikan peringkat menengah di SMUA Tarbiyah Mardhiah, Pancor selama dua tahun. Selepas itu melanjutkan pangajian ke Pondok Lanai Banggol Berangan, Madrasah Misbahul Falah dibawah asuhan mudirnya serta guru kerohanian beliau yang amat beliau sayangi Tuan Guru as-Syeikh Umar az-Zuhdi Bin Haji Sholeh dan kemudiannya di Pondok al-Bakriah ad-Diniyah, Pasir Tumboh dengan Tuan Guru Haji Hashim bin Hj Abu Bakar.


Beliau juga telah melanjutkan pengajian ke Madrasah Darul Ulum ad-Diniyiah, Mekah dibawah asuhan Musnid Dunya al-Alim al-Allamah as- Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa Al-Fadani, seorang ulama hadis yang terkenal. Selepas itu beliau meneruskan pengajian ke Universiti Islam Umm Darman, Sudan dan akhir sekali mendapat ijazah kuliyah hadis dari Universiti Islam Madinah.

Banyak pengalaman telah beliau perolehi kerana kembara ilmu beliau bermula dari India melalui jalan darat merentasi benua sehinggalah sampai ke Mekah dan Madinah.


Sekembalinya ke tanah air, beliau telah menginfaqkan diri beliau untuk berdakwah dan kuliyah ilmu di segenap ceruk negeri tanpa mengira penat dan lelah serta habuan dunia. Sehingga sekarang beliau masih menyampaikan kuliyah-kuliyah ilmu di Masjid beliau di Kampung Dalam Lanas, Tumpat walaupun keadaan kesihatan beliau yang selalu uzur. Setiap kali turun ke masjid untuk memberi kuliyah, beliau terpaksa dipapah oleh dua orang murid beliau.

Beliau merupakan seorang yang amat warak dan zuhud serta amat menyayangi sesama manusia sama ada yang dikenali ataupun tidak. Beliau sentiasa membahasakan dirinya sebagai ‘ayah’ kepada para murid beliau. Setiap kali menyampaikan kuliyah, tangisan dan air mata tidak dapat dielakkan tatkala tiba pada kalimah-kalimah ayat al-Quran yang membicarakan tentang dosa dan neraka. Pernah juga beliau berhenti mengajar kuliyah kerana ingin diamalkan terlebih dahulu isi kandungan kitab yang ingin disampaikan kepada murid-murid beliau.

Setiap kali bersalaman, pasti beliau akan memeluk seseorang itu sambil membisikkan ketelinga orang tersebut “tolong doakan ayah etek deh.” Tersentuh hati ambo yang jahil ini apabila seorang alim begitu meminta kita yang jahil ini memohon doa kepada ALLAH untuk dirinya.Pok su juga ada berkata kepada ambo bahawa beliau lebih jahil dari ambo dan orang lain,masyaALLAH..begitu merendah diri sedangkan ambo ini sangat jahil dan timbul rasa malu kerana hakikatnya ambo yang terlebih jahil.

Lidahnya tidak pernah sunyi dari zikir dan doa.Jari telunjuknya sentiasa bergerak menandakan hatinya sentiasa mengingati ALLAH. Setiap kali melangkah, pasti ada zikir, doa dan wirid yang disebut beliau. Beliau juga merupakan guru Tareqat Ahmadiyah Idrisiyah ad-Dandarawiyah yang diterima beliau melalui tiga sanad yang berbeza.Alhamdulillah,syukur kepada ALLAH subhanahuwataala ambo berasa amat bertuah sekali kerana sempat beliau yakni pok su musa mendoakan ambo dan meniup doanya diatas kepala ambo yang hina ini disisi ALLAH subhanahuwataala.

Antara kelebihan yang ALLAH subhanahuwataala kurniakan kepada beliau adalah dapat menafsir keadaan jiwa seseorang yang datang untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar beliau sebagaimana yang diceritakan oleh kebanyakan murid beliau.Buktinya beliau dapat menegur kesalahan dan kesilapan ambo tampa ambo memberi tahu kepadanya.SubhanaALLAH.

Nama beliau cukup masyhur meniti dibibir para pencinta ilmu terutamanya pelajar pondok di seluruh negara. Sehinggakan ramai yang datang dari jauh untuk mengenali beliau setelah dicadangkan oleh para guru-guru pondok.

Semoga ALLAH SWT akan terus memberkati usia beliau dengan kebaikan dan ibadah kerana para murid beliau masih terlalu dahagakan ilmu yang berada dalam gedung simpanan beliau itu.


sumber : di sini

Sabtu, 15 Disember 2012

Maulana Hussain Abdul Qadir (Anak murid kepada Anak Murid Maulana Zakariyya)



Maulana Hussin bin Abdul Qadir
Berusia 52 tahun .
Sudah 26 tahun menetap di Malaysia .
Maulana Hussin sangat alim Hadith , beliau memiliki Sanad Hadith hingga kepada Imam Bukhary , Imam Mazhab 4 dan terus bersanad kepada Rasululullah SAW .
Beliau sekarang mengajar di pondok-pondok sekitar Kelantan .

Semasa di Majlis Habib Zein di Kelantan saya diperkenalkan dengan Maulana Hussin ini
Saya terkejut apabila dikenalkan dengan beliau . Saya sangkakan beliau orang biasa . Akhlak beliau sangat mulia dan  merendah diri . Beliau membuka restoren menjual roti canai . Sungguh tidak disangka beliau alim besar dalam ilmu hadith sehinggakan Baba Ghazali Sekam Pattani sekalipun masih belajar dengan beliau dan termasuk Dr Lukman anak Tn Guru Hj Abdullah Lubuk Tapah masih belajar dengan beliau .

Moga masyarakat celik minda dan tidak mensia- siakan ulama , ambil menafaat dengan beliau terutamanya orang Kelantan yang hampir dengan beliau

sumber : Ustaz Helmi

Maulana Yunus (Anak Murid Sheikhul Hadis Maulana Zakariyya)


(Maulana Yunus Sahib)

Beliau ialah anak murid kesayangan Maulana Zakariya Kandahlawi, pengarang banyak kitab hadis. Maulana Yunus dilahirkan pada tahun 1937 di Jaunpur. Kerana itu kadang-kadang beliau disebut dengan gelaran Maulana Yunus Jaunpuri. Atau Maulana Yunus Mazhari kerana beliau tamat belajar di madrasah Mazahir Ulum. Atau Maulana Yunus Saharanpuri kerana madarasah Mazahir Ulum terletak di bandar Saharanpur. Secara amnya beliau tidak dikenali di persada antarabangsa. Antara sebabnya mungkin beliau tidak menulis kitab untuk tatapan awam. Beliau sangat dikenali di kalangan ahli ilmu yang pernah belajar di India, Bangladesh, Mynmar dan Pakistan. Juga oleh pihak-pihak yang ada hubungan dengan madrasah sistem Deobandi di England, South Afrika dan US. Jika sesiapa bertanya siapakah muhaddis India/Pakistan yang paling alim sekarang. Maka jawapannya tidak lain dan tidak bukan Maulana Yunus Jaunpuri. Sudah hampir 43 tahun lamanya Maulana Yunus mengajar kitab Sahih Bukhari di Madrasah Mazahir Ulum. Bererti sekurang-kurangnya 43 kali Maulana telah mengkhatamkan kitab Bukhari dalam bentuk tadris (mengajar). Ini kerana sukatan madrasah perlu menghabiskan Bukhari dalam tempoh hampir satu tahun. Cara beliau mengajar kitab Bukhari sememangnya menampakan kewibawaan beliau sebagai seorang muhaddis. Maulana Zakariya sendiri kerap bertanya masalah hadis daripada anak muridnya ini. Surat-surat Maulana Zakariya ketika beliau tinggal di Madinah menyaksikan bagaimana Maulana Zakariya denganhumblenya bertanya banyak masalah hadis daripada Maulan Yunus. Di dalam kitab Abawab Wa Tarajim Li Sahih Bukhari-nya Maulana Zakariya ada mencatatkan pandangan Maulana Yunus tentang makna Bad`u Wahy yang dimaksudkan oleh Bukhari. Pengi`tirafan Maulana Zakariya terhadap kebolehan Maulana Yunus itu sudah cukup membuktikan beliau seorang yang alim dalam bidang hadis. Di samping berguru dengan Maulana Zakariya sebanyak dua kali dalam pengajian hadis Bukhari, Maulana Yunus juga berbai`ah kepada Mualana Zakariya dalam suluk kerohaninnya.

Dalam kehebatan beliau sebagai seorang yang alim dalam bidang hadis jarang mengetahui beliau mengidap penyakit yang serius semenjak daripada zaman belajar di madarasah lagi. Pernah pengetua madrasah menasihati beliau agar berhenti daripada meneruskan pengajian dan pulang berubat. Tetapi beliau berkeras. Kata beliau biarlah beliau mati dalam menuntut ilmu. Seriusnya penyakit Maulana sampai kadang kala darah keluar daripada mulut. Penyakit Maulana tidak sembuh-sembuh sampailah sekarang. Oleh kerana itu Maulana tidak mempunyai kesempatan untuk berkahwin. Biarpun Maulana tidak mempunyai anak tetapi beliau dikurniakan ramai anak murid.

Biarpun sering sakit Maulana tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak membaca. Pembacaan Maulana amat luas. Biliknya dipenuhi dengan kitab. Berak-rak. Sampai terpaksa menggunakan tangga untuk mencapainya. Maulana menghabiskan masa di situ. Di situ juga tempat tetamu menemui Maulana. Jika Maulana terpaksa membaca atau membuat kajian tentang sesuatu tetamu diizinkan juga masuk. Maulana tidak mahu menghampakan tetamu. Tetapi beliau juga tidak mahu masanya habis dengan hanya melayani tetamu yang tak putus-putus itu. Untuk itu Maulana akan terus membuat kerjanya sambil disaksikan oleh tetamu. Untuk tetamu yang memahami maka mereka tak akan lama di bilik Maulana. Cukuplah kalau dapat melihat Maulana dan kegigihannya. Itu sudah cukup sebagai suntikan untuk bersungguh-sungguh dengan ilmu.

Maulana menceritakan Maulana Zakariya ketika hayatnya sentiasa memberikan wang kepadanya sebagai hadiah. Selepas itu Maulana Zakariya akan bertanya apa yang kamu buat dengan duit itu. Dengan duit itulah Maulana membeli kitab-kitab hadis dari masa ke semasa. Maklumlah gaji sebagai guru madrasah bukanlah besar mana untuk boleh membeli kitab. Kini berkat kecintaannya kepada ilmu Allah memberikan apa sahaja kitab yang ingin beliau telaahi. Kadang-kadang ketika ke Mekah beliau akan mengambil kesempatan untuk ke kedai kitab. Di situ Maulana akan berjam-jam menegok kitab untuk menyelesaikan masalah hadis. Ada kalanya beliau terpaksa berdiri berjam-jam mentelaah. Lama kelamaan pemilik kedai mengenali Maulana, setiap kali Maulana datang di musim Haji beliau akan mempelawa Maulana menegok kitab sambil duduk di atas kerusi.

Seingat saya sebanyak tiga kali saya sempat juga bertandang ke bilik Maulana Yunus . Pertama sebelum menjejak kaki ke tahun akhir. Kedua, ketika hendak masuk tahun akhir. Ketika itu saya mengambil kesempatan untuk bertanya Maulana tentang kitab-kitab hadis yang perlu difokuskan di tahun akhir. Kata Maulana masing-masing kitab hadis ada kelebihan masing-masing. Lalu Maulana menyebut beberapa kelebihan kitab Sunan Sittah kepada saya. Sekali lagi saya menziarahi Maulana ketika menemani dua tetamu daripada Malaysia iaitu Dr Asri Zainal Abidin (ex Mufti Perlis) dan Dr Sayuthi Manas (Pensyarah UIA). Kedua-dua mereka pada waktu itu pelajar PHD dalam bidang hadis. Mereka dihantar oleh supervisor mereka Prof Dr Abu Laith untuk mendapatkan sanad hadis. Nama saya diberikan untuk membantu mereka. Waktu itu hanya saya seorang sahaja pelajar Melayu di Deoband dan pernah bertemu dengan Prof Abu Laith sebanyak dua kali ketika beliau menziarahi Deoband semasa pulang bercuti di India. Saya membantu mereka mendapatkan sanad hadis di Deoband dan di Saharanpur. Guru Prof. Abu Laith waktu itu mengajar di Madrasah Mazahir Ulum. Beliau ialah Maulana Zainal Abidin. Mengajar pelajar-pelajar takhasus hadis. Seorang yang hebat dari segi ingatan. Matanya buta sebelah. Ijazah am diberikan kepada mereka berdua oleh Maulana Anzar Shah Kashmiri, Maulana Nasir Ahmad Khan, Maulana Salim Qasimi di Deoband. Dan oleh Maulana Zainal Abidin dan Sanad Hadis Musalsalat oleh Maulana Yunus Jaunpuri di Saharanpur.

Saya tidak mempunyai kesempatan untuk belajar dengan Maulana Yunus kerana tempat kami jauh. Polis pula tak izinkan kami pindah randah madrasah. Namun saya sentiasa bercita-cita untuk mendengar pengajian Maulana. Biasanya Maulana tidak benarkan pengajian dirakamkan dalam apa jua bentuk rakaman. Tetapi pada suatu tahun beliau tergerak di hati untuk mengizinkan pengajian Bukharinya direkordkan. Waktu itu rakaman dalam bentuk kaset. Bila pulang ke Malaysia 2004 saya mencari-cari kaset itu daripada empunyanya iaitu Ustaz Muhammad Hazim yang sekarang bertugas di Markaz Seri Petaling sebagai tenaga pengajar madarasah di sana. Ustaz Hazim ialah khadim khusus Maulana Yunus ketika di Mazahir Ulum. Dia antara pelajar Malaysia yang tamat belajar di Saharanpur. Kini beliau mengajar kitab Bukhari di Madrasah Seri Petaling. Satu naskhah lagi daripada Ustaz Hafiz yang mengajar tahfiz di Pulau Pinang. Ia dirakamkan pada tahun selepas tahun Ustaz Hazim Mazhari. Naskhah rakaman ketiga berada dengan seorang ustaz yang bernama Muhammad Mustafa yang tinggal di sekitar USJ. Naskhah ketiga ini gagal diperolehi sampai sekarang. Naskah rakaman ini lebih awal daripada yang Ustaz Hazim dan Ustaz Hafiz punya dan lebih banyak maklumat kerana kesihatan Maulana ketika itu lebih bagus daipada yang berikutnya. Semasa menuntut MA di UIA saya telah mengambil inisatif menukarkan rakaman dalam bentuk kaset itu kepada bentuk cd. Semuanya saya buat sendiri setelah mengetahui ada software yang boleh melakukannya. Alhamdulillah rakaman keselurahan pengajian Bukhari dari awal hingga akhir dapat saya dengari dan berguru dengan Maulana Yunus secara tidak langsung. Saya tidak jemu-jemu mendengarnya untuk mencatatkan nokhtah-noktah penting komentar Maulana Yunus terhadap syarahan hadis Bukhari. Pernah saya mengajukan tajuk 'Waham Ibnu Hajar Dalam Fathul Bari" untuk thesis Master saya. Idea saya perolehi daripada pengamatan Maulana Yunus semasa mengajar Bukhari. Prof Abu Laith sangat setuju dengan tajuk itu. Namun ia ditolak dalam meeting proposal oleh Dr2 yang lain. Antara sebabnya ialah terlalu tinggi untuk bercakap pasal itu diperingkat Master. Dan siapa saya nak kritik Ibnu Hajar!!! Al maklumlah sidang meeting bukan semua tahu hadis!!! Mereka ingat itu semacam nak bongkar keaiban Ibn Hajar. Padahal skop wahamyang nak diutarakan luas.
(Rujukan: Yawaqit Ghaliyah Fi Tahqiqi Wa takhrij Ahadith A`liyah).

Kitab Yawaqit mengumpulkan jawapan serta soalan daripada surat-surat yang dihantarkepada Maulana Yunus bertanyakan permasalahan hadis oleh segenap lapisan ilmuanSebuah lagi kitab yang disusun daripada surat-surat jawapan Maulana Yunus terhadap persolan hadisSanad Hadis Musalsalat Saya Daripada Maulana Yunus


Bahagian tepi ialah rantaian sanad musalsalat Maulana Yunus

sumber : ustaz ibn nawi

Isnin, 10 Disember 2012

al'Allamah Syeikh Dr. Muhammad Muhyiddin az-Zabidi hafizohullah.


Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Abdullah bin Ali Muhyiddin, dari keluarga Muhyiddin yang berasal dari Zabid, Yaman. Pensyarah di Kuliyah Syariah dan Qanun, Universiti Antarabangsa Afrika, Khartoum-Sudan. Salasilah keluarga beliau bersambung ke Abdu Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lua’i bin Ghalib bin Qurasy, 
datuk ke tiga Rasulullah SAW.

Ayah beliau berhijrah ke Jeddah, dan disanalah beliau dilahirkan pada 1 Muharram tahun 1393hijrah. Semasa kecil, beliau telah berkhidmat dan dididik oleh Syeikh Muhammad Abdul Rabb al-Nazzhori (sekarang anggota badan tertinggi bagi fatwa di Dubai), dan dari guru beliau ini dia belajar asas-asas agama. Ketika datuk beliau Faqih Ali Muhyiddin, yang merupakan seorang yang alim mazhab Syafie menziarahi beliau dan ayahnya di Jeddah, dia telah berjumpa dengan Syeikh al-Murabbi al-‘Alaamah Abdullah Ahmad al-Nakhibi al-Yafi’i yang menjadi Imam di masjid Ba Baidhon, Hayyi Kandarah, Jeddah. Ketika itu Syeikh Abdullah an-Nakhibi berusia lebih kurang 90 tahun, dan beliau merupakan seorang ulama yang besar di Yaman di zaman mudanya, malah pernah menjawat menteri agama sebelum Yaman dikuasai oleh komunis. Maka Faqih Ali menasihatkan anaknya supaya Syeikh Muhammad belajar dari Syeikh Abdullah an-Nakhibi rahimahullah apabila melihat ketinggian ilmunya. Dari situ bermulalah detik Syeikh Muhammad yang baru berusia 10 tahun ditarbiyah dan dididik Syeikh Abdullah an-Nakhibi rahimahullah, beliau belajar pelbagai jenis ilmu termasuk fiqh syafie, nahu, aqidah, sirah, tarikh dan lain-lain. Antara kitab-kitab yang ditadah dan dikhatamkan oleh Syeikh Muhammad pada gurunya yang tercinta ini adalah; Risalah Jamiah karangan Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi, Mukhtasor Soghir dan Muqaddimah Hadhramiyah karangan Syeikh Abdullah Ba Fadhl, Safinatun Naja, Sullam Taufiq, Fathul Rahman, Matan Abi Syujaa’ berserta syarah Ibnul Qasim al-Ghazzi, Fawaid Thaminah karangan Habib Muhammad Bin Hafidz ayah kepada Habib Umar bin Hafidz, Matan Zubad Ibnu Ruslan, Umdatus Salik Ibnu Naqib, Minhajut Tolibin Imam Nawawi, Tanbih Imam Syirozi dan lain-lain kitab fiqh Syafie.

Adapun kitab-kitab hadith Syeikh Muhammad meriwayatkan dari gurunya an-Nakhibi Arbain Nawawiyah, berserta tambahan Ibnu Rejab Hanbali, Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah, Bulughul Maram, Riyadhus Solihin dan thuluthiyaat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah, ad-Darimi, Tabrani, Imam Syafie dan Imam Ahmad.

Syeikh Abdullah Ahmad an-Nakhibi.

Di antara kitab-kitab lain yang dikhatamkan pada Syeikh Abdullah Nakhibi adalah, Aqidah al Awwam, Jauharah Tauhid, al-Kharidah al-Bahiyah, Matan Waraqaat berserta syarah Mahalli, Risalah Imam Syafie, Bidayatul Hidayah, al-Adaab fid Din karangan Imam Ghazali, Unwan at-Taufiq fi adaan at-Toriq karangan Ibnu Ataillah Sakandari, Nasoih Diniyah, dan Hikam karangan Habib Abdullah al-Haddad dan lain-lain. Syeikh Muhammad telah mengkhatamkan kitab pada Syeikh Abdullah al-Nakhibi sahaja lebih dari 80 kitab. Beliau melazimi Syeikh Abdullah an-Nakhibi hinggalah Syeikh Abdullah wafat 27/3/1428 hijrah, dan beliau sendiri yang memandikan dan mensolatkan guru kesayangannya itu.

Selepas selesai pengajian beliau diperingkat Thanawi di Jeddah, beliau telah ke Sudan pada tahun 1412 hijrah untuk menyambungkan pengajiannya ke peringkat Universiti. Dan di Sudan beliau tidak hanya cukup belajar di university sahaja, malah beliau mengambil peluang untuk belajar dari ulama-ulama Sudan. Dan guru yang pertama beliau di Sudan adalah Syeikh Ahmad bin Abdul Salam al-Ja’li al-‘Abbasi al-Maliki. Dan dari beliau inilah Syeikh Muhammad mengkhatamkan kitab-kitab fiqh maliki seperti Risalah Ibnu Abi Zaid al-Qairawani, matan Ibni ‘Asyir, Muwato’ Malik riwayat Yahya al-Laithi, Awail Sunbuliyah dan sebahagian dari Sahih Bukhari selain dari banyak lagi kitab-kitab yang dikhatamkan.

Pada tahun 1418 hijrah, beliau bertemu dengan Musnid Sudan, Syeikh Musa’ad Basyir hafizohullah dan sejak itu Syeikh Muhammad melaziminya sehingga beliau mengkhatamkan kitab-kitab hadith yang besar-besar seperti Sohih Bukhari, Sohih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Tirmizi, Sunan Nasa’i, Sunan Ibnu Majah, Muwatto’ riwayat al-Laithi, al-Qa’nabi dan as-Syaibani, Musnad Imam Ahmad, Mu’jam Shoghir Tabrani, Zadul Muslim, Awail Sunbuliyah, Adabul Mufrad, Al-Azkar dan Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi, dan sebahagian dari Sunan Darimi dan Mustadrak Imam Hakim. Selain dari kitab-kitab hadith, beliau juga mengkhatamkan kitab-kitab mustolah hadith, usul-fiqh dan lain-lain seperti Matan Baiquniyah beserta Syarah Hasan al-Masyat, Muqizoh Imam Zahabi, Muqadimah Ibnu Solah, Nuzhatun Nazor Ibnu Hajar, al-Ba’ithul Hathith dan lain-lain lagi.

Selain dari Syeikh Musa’ad, Syeikh Muhammad juga telah menadah kitab dari ulama Sudan yang lain seperti Syeikh al-Badawi Muhammad at-Tohir al-Husaiyni, imam besar masjid Khartoum, Syeikh Muhammad bin Abdul Rahim bin Hamid al-Kahili, Syeikh Diyab Ahmad Diyab, Syeikh Muhammad Ali Bayan al-Habsyi, Syeikh Muhammad bin Ali at-Thoraifi al-‘Araki dan selain mereka.

Syeikh Muhammad juga pernah bermusafir ke Yaman dan bertalaqqi dengan beberapa ulama di sana seperti Syeikh Ali bin Salim Bukayir Ba Ghauthan, Syeikh Sulaiman bin Ahmad al-Mahnabi al-Zabidi, Syeikh Umar bin Ismail al-Batthoh al-Ahdal dan Habib Salim ash-Syatiri. Selain mereka guru-guru Syeikh Muhammad secara talaqqi adalah;

- Syeikh Ghulam bin Imam bin Nizar al-Afghani al-Hanafi (guru beliau dalam mazhab Hanafi)
- Syeikh Abdul Qadir Karamatullah al-Bukhari.
- Syeikh Nasr bin Muhammad al-Hasani al-Misri.
- Syeikh Yahya bin Abdul Razzaq al-Ghauthani ad-Dimasyqi.
- Syeikh Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghaazi al-Hanafi Mufti Bangladesh.
- Syeikh Sa’duddin Sa’id al-Murad al-Hamawi as-Syafie.
- Syeikh Abdul Wakeel bin Abdul Haq al-Hasyimi al-Hindi.
- Syeikh Malik Bin Arabi as-Sanusi al-Maliki al-Libi (Cucu kepada Syeikh Muhammad Ali Sanusi pengarang kitab Ummu Barahin).
- Syeikh Muhammad bin Habib al-Bushodi as-Syinqiti.
- Syeikh Muhammad bin Mahmud al-Hajjar al-Halabi as-Syafie.
- Syeikh Solah bin Ahmad bin Abdullah al-Hamdani al-Yamani al-Zaidi (guru beliau dalam mazhab zaidi).

Dan selain mereka ramai lagi guru-guru talaqqi dan ijazah Syeikh Muhammad. Beliau juga memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang syariah dan qanun dengan darjat cemerlang (imtiyaz) di Universiti Omdurman Islamiyah dan mendapat anugerah pelajar cemerlang yang disampaikan oleh Presiden Sudan sendiri ketika itu. Namun kerana cintanya beliau dengan ilmu, beliau tidak hadiri majlis penyampaian hadiah tersebut kerana menghadiri majlis talaqqi salah satu dari masyayikh beliau.
Sekarang beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Antarabangsa Afrika di Khartoum, disamping mengajar fiqh syafie dan hadis secara talaqqi di luar universiti.

semoga Allah swt memberkati beliau, memberi kesihatan yang baik dan memanjangkan usia beliau agar ummat dapat mengambil manfaat daripada beliau...amin.



sumber : maulana muhajir afriqiyy aka maulana akmal.


Jumaat, 7 Disember 2012

Syeikh Musa’ad bin Basyir bin Ali bin al-Haj Sa’d (Ulama Sudan)


Nama penuh beliau adalah Syeikh Musa’ad bin Basyir bin Ali bin al-Haj Sa’d dan beliau terkenal dengan panggilan al-Haj Sadirah.

Dilahirkan pada tahun 1363 hijrah di al-‘Usailaat daerah wilayah Khartoum, daripada sebuah keluarga yang soleh dan berilmu.
 Keturunan beliau bersambung silsilahnya kepada Sayyidina Husain bin Ali R.A.

Semasa beliau masih kecil, keluarganya berpindah ke kawasan Jazirah (selatan Khartoum), di satu kawasan pertanian yang dipanggil as-Sadirah. Ketika itulah Syeikh Musa’ad mula bertemu dengan guru pertama beliau iaitu Syeikh al-Fakki Umar bin Uthman bin Yusuf al-Umawi al-Uthmani (wafat 1396 hijrah) dan usianya baru 7 tahun. Syeikh al-Fakki Umar mempunyai hubungan persahabatan yang sangat rapat dengan ayahanda Syeikh Musa’ad, dan disebabkan perkara itulah Syeikh al-Fakki Umar sangat mengambil berat tentang Syeikh Musa’ad terutamanya selepas kewafatan ayahanda Syeikh Musa’ad, ketika beliau berusia 8 tahun. Sejak itu, Syeikh al-Fakki Umar mula mendidik dan mengajar Syeikh Musa’ad, dan antara kitab-kitab pengajian Syeikh Musa’ad yang awal ditadah olehnya adalah; Matan Ibnu A’syir dalam fiqh maliki dan dua syarahannya iaitu Miyaratul Shughra dan Miyaratul Kubra, kemudian kitab al-Akhdhari, al-‘Usymawi semuanya dalam fiqh maliki. Kemudian beliau menadah al-Ajrumiyah dalam ilmu nahu, dan menyambung kitab Syarah al-Syarnubi ala matan ‘Izziyah karangan Imam Abul Hasan as-Syazuli dalam fiqh Maliki. Kemudiannya kitab al-Risalah karangan Ibnu Abi Zaid al-Qirawani, Arba’in Nawawiyah, Riyadhus Solihin, al-Madkhal karangan Ibnul Haj al-Tilmasani, dan Muwatto’ riwayat Yahya al-Laithi. Beliau telah membaca Muwatto’ berkali-kali juga dengan riwayat al-Qa’nabi dan Muhammad Hasan al-Syaibani. Kemudian beliau membaca Zadul Muslim karangan as-Syinqiti dan gurunya al-Fakki Umar pernah membaca kitab tersebut di hadapan pengarangnya sendiri.

Seterusnya Syeikh Musa’ad membaca Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Aqrabul Masalik karangan Syeikh Dirdir (fiqh maliki) berserta Hasyiyah Imam al-Sowi padanya, Sunan Abi Daud, Tirmizi, al-Muqadimaat al-Mumahhidaat karangan Ibnu Rusyd al-Jadd, Sunan Ibnu Majah, Sunan Nasa’I, Mukhtasar Khalil berserta syarah al-Hattob dan Hasyiyah al-Dusuqi, Fathul Bari karangan Ibnu Hajar al-‘Asqolani, dan Syeikh Musa’ad telah membaca dihadapan gurunya Syeikh al-Fakki Umar kitab Sahih Bukhari 4 kali.

Kemudian beliau juga membaca kitab-kitab Jarah wa Ta’dil dan Rijal seperti Mizan al-‘Itidal karangan Imam al-Zahabi dan lain-lain. Beliau juga membaca Musnad Imam Ahmad bin Hanbal dan al-Mudawwanah al-Kubra dan semua kitab-kitab ini dibaca di hadapan gurunya dari kulit ke kulit.

Begitulah keadaan Syeikh Musa’ad yang melazimi gurunya lebih dari sepuluh tahun penuh dengan ilmu. Malah gurunya telah bermusafir bersamanya ke beberapa Negara dan setiap kali gurunya berjumpa dengan alim ulama, beliau akan meminta ijazah untuk Syeikh Musa’ad juga di samping dirinya. Dan antara guru yang memberi ijazah kepada Syeikh Musa’ad ialah Musnid Alamah Muhaddith Syeikh Abdul Hayyi al-Kattani ketika mereka menziarahi Maghribi pada tahun 1375 hijrah.

Syeikh Musa’ad juga kemudiannya telah belajar dengan ramai ulama yang besar, antaranya Musnid Dunia, Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani di Mekah pada tahun 1399 hijrah, dimana beliau mengkhatamkan Sahih Bukhari dan Sahih Muslim dengan Syeikh Fadani, dan sebahagian Sunan Tirmizi.

Begitu juga beliau mengkhatamkan Sohih Bukhari dan Sunan Nasa’i dengan Syeikh Muhammad al-Mukhtar as-Syinqiti, ayah kepada al-Faqih al-‘Allamah Muhammad bin Muhammad Mukhtar as-Syinqiti. 

Antara guru-guru beliau yang lain adalah;

- Syeikh Ismail Sodiq al-‘Adawi Mesir- beliau membaca di hadapan beliau Sohih Bukhari, beberapa juzuk Tafsir Jalalain, dan sedikit dari Aqrabul Masalik dan fiqh maliki.
- Syeikh Abdul Fattah as-Syinqiti – beliau membaca Mustadrak al-Hakim, dan Ibnu Malik dalam ilmu Nahu, dan Qiraat tujuh.
Berikut adalah guru-guru ijazah (di mana Syeikh Musa’ad tidak membaca pada mereka melainkan beberapa kitab-kitab sahaja).
- Syeikh Muhammad Najib al-Muthi’i – Pengarang takmilah Majmuk Imam Nawawi.
- Syeikh Abdullah al-Najdi.
- Syeikhul Islam Sinegal, Haj Ibrahim bin Abdullah al-kaulakhi.
- Syeikh Muhammad Hafiz al-Tijani.
- Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.
- Syeikh Muhammad Amin Haj Ibrahim al-Kaulakhi.
- Syarif Syeikhul Islam Ibrahim Soleh al-Husaiyni.
- Syeikh Abdullah bin Sa’d Ubbadi al-Lahji al-Hadhrami as-Syafie
- Syeikh Abul Hasan an-Nadwi.
- Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari.
- Syarif Idris al-Iraqi al-Fasi.
- Syeikh Abdullah Ahmad an-Nakhibi.
- Syeikh Abdul Qadir Karamatullah Bukhari.
- Habib Muhammad Ahmad a-Syatiri (pengarang Syarah Yaqut Nafis).

dan ramai lagi dari masyaikh yang mengijazahkan beliau.
Sekarang beliau berusia lebih kurang 71 tahun (kiraan tahun hijrah).

Sumber oleh Ustaz Akmal aka Muhajir Afriqiyy