Khamis, 18 Oktober 2012

Al Allamah Sheikh Badruddin Al Hasani


Al-Alim Al-Allamah Al-Muhaddith Al-ArifBillah Al-Syam Sayyid As-Syeikh Badruddin Al-Hasani. Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid terpinga-pinga.

“Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar.Adakah sesiapa yang mampu menunaikan
hajatku ini?” Tanya sang murabbi pada seluruh muridnya.

Salah seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab, “ Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami,moga kami mampu untuk menunaikannya untuk Tuan Guru”.

Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata “ Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan,adakah sesiapa yang ingin membantuku mengagihkan harta ini?”

“Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk mengagihkan harta ini”jawab Murid tersebut dengan bersemangat.

“Bolehkah Tuan Guru perincikan kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?”seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.

“Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian” Jawab Tuan Guru dengan tenang.

Keadaan menjadi bingit,masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.

“Aku sudah mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini. Kalau begitu tidaklah mengapa. Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya.” Tuan Guru menjawab dengan tenang.

Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan. Salah seorang murid kanan Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut. Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara’ ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina seperti itu.

“Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku(Nama tuan guru) dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala” Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya tersebut.

Maka sang murid yang mulia ini terus memulakan tugasnya dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.

Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.

“Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin fulan ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian.Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala”.

Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka.Setelah selesai tugasnya, sang murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan nafasnya.

Masing-masing ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selanjutnya setelah peristiwa tersebut.

Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah berlaku. Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Tuan Guru. Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.

Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin menyampaikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur berkenaan.

Ini merupakah karamah yang Allah taala kurniakan kepada Tuan Guru yang wara’ ini. Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.


Tuan Guru yang dimaksudkan di sini ialah al-Alim al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu taala. Beliau wafat pada 1354 Hijriyah. Beliau digelar “Khatimah al-Huffaz dan al-Muhaddissin” yang bermaksud penutup kepada para ulama Hadis yang terkemuka.Mula mengarang kitab ketika umurnya belum pun sampai 20 tahun.

Beliau mengajar di Masjid Umawi pelbagai bidang ilmu seperti Nahwu, Sarf, Balaghah, Mantiq, Fiqh dan lain-lain.Menurut Syeikh al-Allamah Mahmud Rashid al-Attar rahimahullah (wafat 1362 Hijriyah), Syeikh Badruddin al-Hasani juga mengajar kitab Tafsir Baidhawi tanpa melihat kepada kitab dan tanpa memegang apa-apa kertas pun ditangannya.Tafsir tersebut telah dihafalnya dan dikuasainya dengan begitu hebat.

Ketika umur Syeikh al-Allamah Badruddin al-Hasani mencapai 30 tahun beliau mula mengajar Sahih Bukhari di Masjid al-Sadat.Ini juga dilakukan tanpa melihat kitab sedikitpun.Beliau menghafal keseluruhan Sahih Bukhari di dalam dadanya.Menurut para ulama tidak pernah dilihat seseorang yang begitu alim menyampaikan pengajian dengan keseluruhan bidang ilmu seperti Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah.Ketika mensyarahkan Sahih Bukhari , keseluruhan ilmu dibahaskannya termasuklah ilmu perubatan, hikmah-hikmah, falsafah dan lain-lain.

Antara kelebihan Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah juga ialah, semuanya mampu untuk memahami apa yang disampaikannya,bukan hanya para ulama dan penuntut ilmu, malah para petani dan orang awam yang biasa juga mampu untuk memahami apa yang disampaikan oleh Syeikh al-Murabbi rahimahullah.Ini kerana keikhlasannya yang begitu tinggi ketika menyampaikan pengajian.Beliau juga digelar Qutb al-Zaman (Wali Allah yang menjadi paksi kepada seluruh para wali ketika itu)dan Mujaddid pada zaman tersebut.

Semoga Allah taala merahmatimu wahai Tuan Guru yang mulia.



sumber ambilan : di sini

Selasa, 16 Oktober 2012

Baba Ismail Sepanjang



Kelahiran, Keluarga dan Pendidikan.

Nama asal beliau ialah Ismail bin Omar atau lebih dikenali sebagai Baba Eil Spanjang iaitu panggilan bagi seorang Tuan Guru. Dilahirkan di Kampung Dusun Spanjang Daerah Penarik, Patani kira-kira 20 km dari Bandar Patani. Merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga sebanyak 3 beradik.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Dusun Spanjang. Kemudian menyambung pendidikan di pondok berdekatan rumahnya (200 meter) pada ketika usia 14 tahun. Beliau dihantar belajar agama oleh keluarganya dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Latif. Selain itu, beliau juga berguru dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman dengan mendalami pelbagai ilmu antaranya Tafser, Hadis, Feqah, Nahu dan lain-lain. Manakala tiba musim cuti semester Baba Eil pergi belajar di pondok lain pula bagi mengisi masa lapang.

Ketika umur beliau mencapai 21 tahun, beliau berpindah ke Pondok Haji Abdul Qader Sekam (Baba Der) yang terkenal dengan ilmu tauhid untuk belajar di sana sehinggalah umur beliau 30 tahun. Ketika di sana beliau bukan setakat mengajar kepada pelajar tetapi mula menerima undangan mengajar masyarakat sekitar. Antara tempat yang beliau masih mengajar hingga ke hari ini ialah Masjid Yala (21 tahun) dan Masjid Patani (22 tahun).

Ketika umur beliau 29 tahun, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Hajah Sabariah Binti Tuan Guru Haji Abdul Aziz (Pengarang Kitab Misbahul Munir). Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan 5 cahayamata ( 2 lelaki dan 3 perempuan ).Selepas itu ketika berumur 31 tahun, beliau telah pergi ke Mekah dan bermuqim di sana selama 7 bulan.

Pada tahun 1993, setelah kembali dari Mekah, barulah Baba Eil membuka pondok di Kampung Kubang Ikan Bandar, Narathiwat yang dikenali dengan nama Maahad Darul Muhajirin. Dalam tempoh tersebut, beliau juga selalu berulang-alik ke Kelantan untuk memenuhi jemputan mengajar. Akhirnya pada tahun 1998, pondok beliau telah berpindah ke kampung beliau sendiri di Kampung Dusun Spanjang hinggalah ke hari ini. Rutin harian beliau dipenuhi dengan mengajar agama kepada pelajar yang datang dari pelbagai pelusuk dalam dan luar negara seperti Kemboja, Malaysia dan Burma tanpa menerima bayaran.
Sehingga kini, terdapat lebih kurang 200 orang pelajar yang sedang menuntut di pondok beliau. Pengajian berlangsung sepanjang tahun melainkan pada waktu cuti iaitu 15 Sya’ban hingga 15 Syawal ( 2 bulan ), cuti Raya Haji ( seminggu ) dan bulan Rabiulawal ( 1 bulan ).

Selain itu, Baba Eil juga memberi khidmat masyarakat dengan mengajar pada setiap hari Sabtu di Masjid Patani dan setiap Ahad di Masjid Yala.. Kuliah Baba Eil sering disiarkan di radio tempatan. Selain mengajar, Baba Eil memenuhi masa lapang dengan mentelaah dan mengarang kitab.
Antara kitab karangan Baba Eil ialah “Mizan ad-Durari”, “Hikam Jawi”, “Mawaiz al-Iman”, dan karangan dalam bidang tafsir,hadis dan Qawaid. Selain itu,Baba Eil telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Persatuan Ulama Fathoni.

Rabu, 3 Oktober 2012

DR Muhibuddin Waly (Rakan Sepengajian Musnid Dunia)


Ese telah dimaklumkan oleh seorang sahabat dari seberang bahawa  guru kami al-Mursyid Prof. Dr. Teungku Muhibbuddin Waly al-Khalidy telah berpulang ke rahmat Allah subhanahu wa ta`ala sekitar jam 10 malam semalam (7 Mac 2012). Buya Muhibbuddin adalah anakanda kepada Syaikh Mudo Waly al-Khalidy rahimahullah, ulama besar Aceh Darus Salam yang merupakan antara sahabat sepengajian Syaikh Yaasin al-Fadani rahimahullah. Beliau adalah graduan al-Azhar dari sarjana muda sehinggalah selesai Phd dalam bidang Syariah dengan thesis berkaitan ijtihad - jodol thesisnya ese dah lupa, tebalnya kalau hempok kat kepala boleh bawak umur kata orang kampung ese. Beliau pernah menjadi ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia dan pernah juga menjadi pensyarah di Kuliyyah Undang-Undang & Syariah Universiti Islam Antarabangsa.

Selain bidang Syariah, beliau juga terkenal dalam ilmu tasawwuf dan thariqat. Dalam ilmu thoriqat, beliau adalah mursyid Thoriqat Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah al-Waliyyah. Beliau diangkat menjadi mursyid mulanya oleh guru ayahanda beliau, Syaikh Abdul Ghani al-Kampariy rahimahullah. Di antara karya yang beliau tinggalkan buat umat adalah "Hakikat Hikmah Tauhid Dan Tasawuf (Syarah al-Hikam)", "Tafsir Waly""Fathul Waly (Syarah kitab Jauharatut Tawhid)" dan "Nahjatun Nadiyah ila Martabatis Shufiyyah". Buya Muhibbuddin hingga akhir hayatnya tidak pernah berhenti berkhidmat kepada agama, nusa, dan bangsa, beliau selalu menyempat diri melayani umat, meskipun terpaksa dipapah. Beliau mudah memberikan hidangan ilmu dari ceramah-ceramahnya. Sebagai ulama beliau telah mendedikasikan hidupnya dalam dunia ilmu dan dakwah. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang sentiasa tenang, bicaranya lembut dan jarang sekali marah. 
Tanggal 7 Mac 2012 menyaksikan pemergian ulama besar ini di Tanah Serambi Makkah, Aceh Darussalam. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Rumah Sakit Fakinah, Banda Aceh sekitar jam 10 malam wib. dalam usia 75 tahun. Mudah-mudahan Allah ta`ala mencucurkan rahmatNya yang tiada berkesudahan kepada Buya Muhibbuddin Waly dan menempatkan beliau bersama para kekasihNya dalam syurga yang penuh kenikmatan. Pemergianmu kuiringkan dengan al-Fatihah .....Selamat Jalan Buya.

sumber : bahrusshofa

Isnin, 1 Oktober 2012

Sheikh Abdullah Al Lahji (Guru Sheikh Nuruddin)


Syaikh al-Faqih al-Muarrikh al-Muhaddits al-Lughawi al-Adib `Abdullah bin Sa`id bin Muhammad bin `Ubaadi al-Lahji al-Hadhrami adalah seorang ulama besar, Mufti asy-Syafi`iyyah Kota Makkah al-Mahmiyyah. Beliau dilahirkan di Kota Lahj, Yaman pada tahun 1343H. Dilahirkan dalam keluarga ulama yang kuat beragama. Sejak kecil beliau telah menghafal al-Quran dan berbagai matan di bawah asuhan ayahandanya sendiri. Kemudian, beliau dihantar oleh ayahanda beliau ke Kota Hauthah untuk menimba ilmu di bawah Syaikh Hasan `Abdullah Ibrahim sehinggalah ayahandanya meninggal dunia pada tahun 1354H, di mana beliau telah dilantik untuk menggantikan tugas ayahandanya menjadi muadzin, khatib dan imam. Semua tugas tersebut dipikul beliau dengan penuh ikhlas dan amanah, selain tugas menjadi imam, di mana beliau kerap menolak untuk menjadi imam kerana sikap tawadhu'nya.

Pada tahun 1358, beliau meneruskan pengajiannya dengan para ulama di Kota Marawa`ah. Beliau menetap di kota tersebut sehinggalah tahun 1361 di mana pada tahun tersebut beliau berpindah ke Kota Zabid untuk menimba ilmu dengan para ulamanya. Beliau menetap di Kota Zabid sehinggalah gurunya wafat pada tahun 1372H.

Pada tahun 1374, Syaikh `Abdullah berangkat ke Hejaz untuk menunaikan fardhu haji  dan beliau tinggal di Kota Makkah selama setahun sebelum pulang ke Yaman. Dalam tahun 1377, beliau memutuskan untuk berhijrah ke Kota Makkah dan tetaplah beliau tinggal di sana sehingga kewafatannya pada tahun 1410H.

Di antara guru-guru beliau, selain ayahandanya sendiri, adalah Syaikh Hasan `Abdullah Ibrahim, Sayyid `Abdur Rahman bin Muhammad al-Ahdal, `Allaamah `Abdullah bin `Ali al-Amudi, Sayyid `Abdullah bin Ahmad al-Haddar, Sayyid `Alawi al-Maliki, Syaikh Hasan al-Masyat, Syaikh Muhammad al-`Arabi al-Tubbani, Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani, Sayyid Muhammad Amin Kutbi, Syaikh Hasan bin Sa`id al-Yamani, dan ramai lagi, rahimahumullah. Murid-murid beliau juga ramai, antara mereka ialah Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin `Alwi al-Maliki, Dr. Sayyid Ahmad `Abdul `Aziz al-Haddad, Sayyid Muhammad Husain al-Qadimi dan Sayyid Qasim al-Ahdal.

Syaikh `Abdullah juga mengarang berbagai jenis karya, antaranya:- 


1- إيضاح القواعد الفقهية لطلاب المدرسة الصولتية
2- إعانة ربِّ البرية على جمع تراجم رجال الحديث المسلسل بالأولية
3- المرقاة إلى الرواية والرواة
4- رسالة جمع فيها أربعين حديثاً
5- منتهى السول على وسائل الوصول إلى شمائل الرسول
6- إسعاف أهل الخبرة بحكم استعمال الصائم للإبرة
7- حديقة الأبرار شرح بهجة الأنوار
8- نظم في الغزوات
9- فتح المنان في شمائل شيخنا عبد الرحمن
10- نظم في القيلات المعتمدة في المنهاج للنووي
11- الأجوبة المكية عن الأسئلة الجاوية
12- حسنات الزمن في تراجم علماء اليمن

Syaikh `Abdullah al-Lahji meninggalkan dunia yang fana ini di Makkah pada 26 Jamadil Awwal 1410H dalam usia 67 tahun. Mudah-mudahan hujan rahmat Tuhan yang Maha Rahim sentiasa tercurah ke atas beliau dan keberkatannya mengalir kepada sekalian umat....al-Fatihah.

sumber : bahrussofa