Jumaat, 22 Mac 2013

Allamah Sheikh Ramadhan Al Bouti rahimahullah

al-Fatihah ila Hadrah al-Allamah al-Muhaqqiq al-Mujtahid al-Sheikh Dr. Muhammmad Said Ramadhan al-Bouti (1929-2013) rhl.

Beliau ialah seorang ulama' terulung, anak kepada seorang ulama' terulung juga iaitu al-Sheikh Mulla Ramadhan al-Bouti. Beliau mendapat pendidikan daripada ayahandanya kemudian melanjutkan pelajaran di ma'ahad2 di Damsyiq sebelum menyambungkan pelajaran di Al-Azhar al-Syarif, Mesir.

Beliau merupakan seorang tokoh yang tersendiri pada zamannya (Farid Dahrihi) yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Antara watak keilmuan beliau adalah:

Jambatan Zaman: Beliau adalah antara tokoh ulama' yang mampu berkhidmat kepada turath Islami dan menghidupkannya dalam perkembangan zaman masa kini. Beliau mengembangkan manhaj aqidah ahli sunnah Asha'irah dengan perbahasan-perbahasan semasa yang sangat baik terutamanya melalui kitab beliau yang masyhur berjudul "Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah".

Sebagaimana beliau memperbahrui perbahasan dalam bidang aqidah, beliau juga turut membahaskan ilmu sirah dengan pendekatan baharu melalui buku beliau yang terkenal iaitu "Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah". Begitu juga beliau memberi penjelasan yang mudah dan sesuai dengan zaman, terhadap Hikam Ibn 'Atho'illah al-Sakandari r.a..

Usaha2 yang beliau lakukan adalah antara apa yang dimaksudkan oleh Sheikh Dr. Ali Jum'ah tentang projek Ihya' al-Turath al-Islami.

Jelas dan Tegas: Beliau juga merupakan seorang ulama' yang menguasai ilmu agama dengan kefahaman yang muktabar dan bersifat mempertahankan kefahaman warisan al-sawad al-a'zhom terhadap agama.

Antara sikap yang jelas, di samping beliau membahaskan bab aqidah dengan membela manhaj al-Asya'irah dan manhaj sufi, beliau turut mengarang beberapa kitab dalam menolak fahaman wahabi. Antara buku-buku beliau adalah: "Alla Mazhabiyyah" dan al-Salafiyyah, yang mana menunjukkan beliau memahami dengan jelas pertembungan yang berlaku dalam lapangan keilmuan Islam semasa, bahkan tegas membela golongan yang benar dan berani menjelaskan kesalahan golongan yang beliau nilai sebagai salah.

Ini menunjukkan bahawa, beliau bukan sahaja pembela kefahaman Islam warisan al-sawad al-a'zhom, tetapi juga pembenteras kepada aliran-aliran yang syaz (pinggiran).

Penggunaan Bahasa Arab yang tinggi: Antara ciri-ciri keistimewaan Dr. Al-Bouti adalah, dari sudut penggunaan bahasa beliau. Samda ketika berbicara mahupun dalam tulisan, beliau sering menggunakan mufradat yang jarang boleh didapati dengan mudah, sehinggakan sebahagian penuntut ilmu berbangsa Arab sendiri mengadu kesusahan untuk memahami bicara beliau. Ia adalah bagi membiasakan para penuntut ilmu dengan kalimah-kalimah Arab yang jarang ditemui dan memperkayakan mereka dengan kalimah-kalimah Arab yang baharu.

Alhamdulillah, al-faqir diberi kesempatan untuk bertemu beliau sebanyak dua kali iaitu di Mesir dan di Malaysia. Dalam beberapa kesempatan itu, sempat berdialog dan lebih banyak mendengar bicara beliau yang menunjukkan kedudukan ilmu beliau yang tinggi.

Pemergian Dr. Al-Bouti dirasai oleh seluruh umat Islam. Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menganugerahkan anugerah yang tidak terhingga kepada beliau atas jasa beliau kepada ummah. Amiin...
tulisan : Al Fadhil Ustaz Raja Ahmad Mukhlis