Mendapat didikian awal dari ayahandanya Habib Salim bin Hafidz. Kesan pendidikan ayahnya, ketika usianya meningkat dewasa, peribadinya dihiasi dengan budipekerti yang mulia. Selain berguru dengan ayahandanya yang terkenal alim, beliau juga turut berguru dengan Habib 'Ali bin 'Abdur Rahman al-Masyhur, Habib 'Abdullah bin 'Umar asy-Syathiri, Habib 'Alwi bin Syihab, Sayyid Hamid al-Sirri, Sayyid ‘Ali bin Zein al-Hadi, Habib Ahmad bin ‘Umar asy-Syathiri, Habib Abdullah bin ‘Aydrus, Habib Hasan bin Muhammad balfaqih, Habib Muhammad bin Hasan ‘Aidid, Habib Hasan bin Ismail, Syeikh Abu Bakar al-Khatib, Syaikh Muhammad bin ‘Iwadh BaFadhal, Habib Abdurrahman al-Saqqf, Habib Muhammad bin Hadi al-Saqqaf dan ramai lagi ulama Hadhramaut. Beliau juga telah mengembara ke Haramain, India, Pakistan dan lain-lain untuk menuntut ilmu dan berda’wah. Akhirnya beliau kembali ke Tarim dan mendirikan majlis-majlis ta'lim di sana selain menjalankan usaha dakwah ke daerah-daerah luar.
Disamping berdakwah, beliau juga telah mengarang beberapa buah kitab antaranya ada yang telah dicetak dan sebahagiannya masih dalam bentuk manuskrip. Antara kitab karangan beliau: Takmilah Zubdatul Hadits fil Faraidh, al-Miftah li Babin Nikah, al-Tazkirah al-Hadhromiyah, al-Fawaid al-Tsaminah, Durus al-Tauhid,, al-Wasilah lil Wiqawah, Qurratul ‘Ain li Jawabi As`ilati Waadi al-‘Ain, al-Nafhah al-Wardiyah, Nazam Maulid al-Haafidz ‘Imaad al-Diin ibn Katsir, Dalil al-Muslim, al-Fawaid al-Nahwiyyah li Qaari` al-Ajrumiyah. Manakala yang masih dalam bentuk manuskrip, antaranya Majmu’ Kalam wa Mawa’idz al-Habib ‘alwi bin Abdullah bin Syihab, Manaqib al-Habib ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syathiri, Rehlah al-Habib Musthafa al-Muhdhar, Diwan Syairnya dan Himpunan Fatwanya. Oleh kerana ketinggian ilmu dan akhlak serta kewarakannya, maka Habib Muhammad bin Salim dipilih menjadi Mufti Kota Tarim al-Ghanna. Habib Muhammad mempunyai 11 orang cahaymata, antara anak-beliau adalah al-‘Allamah al-Faqih Habib ‘Ali al-Masyhur, Habib Ahmad Attos, al-Da’i ilaLlah Habib Umar, Habib Salim dan Habib ‘Abdullah
Sekalipun dilantik menjadi Mufti, beliau tetap bersikap tawadhu dan amat menghormati para gurunya dan para ulama lainnya. Hari-harinya dihabisi dengan berbagai amal ibadah dan menyampaikan ilmu, sehingga pernah dalam satu hari beliau mengendali dan hadir 16 majlis ilmu. Diantara tradisi beliau adalah mengkhatam kitab shohih al-Bukhari setiap tahun didalam bulan Rajab.
Dalam menyampaikan dakwah pula, Habib Muhammad terkenal lantang dalam menyeru umat kepada jalan Allah dan syariatNya. Suaranya dalam menyampaikan kebenaran tidak dapat dihalang sehingga dengan kepala diacukan pistol beliau telah menyatakan kebenaran tanpa takut dan gentar. Hal ini membuat gusar pemerintah pemberontak komunis pada waktu itu, sehingga pada tanggal 29 Dzul Hijjah 1392H tatkala beliau dan anakandanya Habib Umar yang ketika itu baru berusia 9 tahun beri'tikaf dalam Masjid Jami` Tarim menunggu masuk waktu sholat Jumaat, Habib Muhammad telah dijemput oleh 2 orang polis dan dibawa ke balai yang berdekatan. Sebelum pergi beliau meninggalkan rida’nya [shalnya] ditempat duduknya. Sehingga selesai sholat Jumaat, Habib Muhammad tidak kembali lagi. Akhirnya pulanglah Habib Umar yang masih kecil itu sendirian dengan membawa syal milik ayahnya. Sejak saat itu tidak ada khabar berita mengenai beliau dan tidak diketahui samada beliau telah wafat atau masih hidup. Usia Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz ketika itu adalah 60 tahun.
Ramai yang percaya bahawa beliau telah dibunuh syahid oleh pemberontak komunis tersebut kerana khuatir akan pengaruh dan kelantangan beliau. Kini perjuangan dakwahnya diteruskan oleh murid-murid dan zuriat beliau, antaranya yang masyhur ialah Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz. Seolah-olah, shal yang ditinggalkan seumpama bendera da’wah yang diwariskan kepada anaknya, Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz untuk terus diperjuangkan. Dan kini Habib Umar meneruskan menyebaran ilmu dan da’wah ke seluruh pelusuk dunia. Mudah-mudahan Allah melimpahkan keredhaanNya ke atas Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz dan memberikan kepada kita sekalian keberkatan dan manfaat ilmunya....al-Fatihah.
اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Ya Allah! Sebarkanlah hembusan keredhaanMu keatasnya dan limpahkanlah, ya Allah kepada kami segala rahsia yang Engkau simpan disisinya. Ya Allah kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan keatas datuknya, Nabi al-Amin, penghulu kami Sayyidina Muhammad dan keatas keluarga dan shahabat-shahabatnya sekalian. – Sekian.
InsyaAllah siri seterusnya, abu zahrah akan bawakan pula manaqib al-Habib Salim bin Hafidz bin Abdullah, iaitu datuk kepada Habib Umar.
sumber : Ustaz Abu Zahrah
Alfaqir ada mendengar cerita yang mana ayah Habib Umar telah bersama dengan amir usaha dakwah dan tabligh.
Sewaktu jemaah Maulana Said Ahmad Khan(sheikh yang diputuskan untuk membuat usaha tabligh di Arab) tiba di Yaman,ayah Habib Umar ikut pulang ke India dan duduk bersama Maulana Yusuf(Amir Kedua ataupun Hadratji Kedua) dan membuat kitab Hayatussahabah.
Anak Habib Umar juga telah sampai ke Nizamuddin, yang mana dia telah meminta untuk melihat manuskrip asal almarhum datuknya.
Wallahua'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan