Jumaat, 7 September 2012

Habib Abd Qadir Al Saqqaf


Shubuh Ahad 19 Rabi’ul Akhir 1431H bersamaan 4 April 2010M, membawa berita yang teramat sedih kepada keluarga besar ‘Alawiyyin dan para Muhibbin khususnya dan kaum Muslimin umumnya, iaitu berita kewafatan al-Marhum almaghfurlah al-Habib al-Quthub ‘Abdul Qadir bin Ahmad bin ‘Abdurrahman as-Saqqaf. Beliau kembali ke rahmatuLlah sebelum waktu Fajar di Jeddah, Arab Saudi, setelah sekian lama uzur.
Al-Fagir, secara peribadi tersangat sedih apabila menerima sms dari al-Fadhil Ustaz Azian, Imam Masjid al-Falah, tengahari semalam. Terkedu seketika, dan tanpa dipaksa, airmata mengalir laju tatkala mendapat berita tersebut. Allahu Allah …. Rasanya bukan al-Fagir seorang saja yang berperasaan begitu, semestinya para muhibbin seluruh dunia, apatah lagi murid-murid beliau. Dan al-Fagir merasakan bukan penghuni bumi sahaja yang menangisinya, bahkan penduduk langit juga. Allahu Allah.
Berita kewafatan beliau tersebar luar diinternet. Ramai yang mengucapkan ta’ziah dan mungkin ramai tertanya-tanya siapakah gerangan al-Habib ‘Abdul Qadir bin Ahmad bin ‘Abdurrahman as-Saqqaf? Maka al-Fagir meluangkan sedikit kesempatan yang ada untuk memaparkan manaqib beliau secara ringkas. Dan tulisan ini al-Fagir khusus buat beliau. Walaupun al-Fagir belum pernah bertemu, namun nama dan kisah mengenai beliau sering al-Fagir dengar. Dan dari situlah tumbuh rasa kecintaan al-Fagir kepada beliau. Sementelahan lagi beliau adalah merupakan guru kepada guru-guru al-Fagir. Sekian lama menyimpan azam untuk menziarahi beliau, namun tidak kesampaian. Maka untuk itu al-Fagir dedikasikan nukilan yang serba kekurangan serta dhoif ini buat beliau رضي الله عنه sebagai tanda kasih dan cinta al-Fagir kepada beliau.
Nasab: Beliau adalah al-Habib ‘Abdul Qadir bin Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Saqqaf bin Muhammad bin ‘Umar bin Thoha as-Saqqaf.
Kelahiran: Dilahirkan di kota Sei`un (سيؤن) atau Seiwun, Hadramaut pada bulan Jumadilakhir 1331H/1913M. Beliau lahir dari keluarga yang sholeh. Ayahanda beliau (foto sebelah) iaitu al-Habib Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Saqqaf bin Muhammad bin ‘Umar bin Thoha as-Saqqaf, adalah seorang ulama ‘arifbillah. Dan begitu juga dengan bonda beliau, asy-Syarifah ‘Alawiyyah binti al-Habib Ahmad bin Muhammad al-Jufri, seorang wanita sholehah yang suka pada kebajikan. Beliau dibesarkan oleh kedua ayahanda dan bonda yang sholeh sehingga sejak kecil beliau telah dihiasi dengan hidayah dan ketakwaan.
Ayahanda beliau al-Habib Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Saqqaf bin Muhammad bin ‘Umar bin Thoha as-Saqqaf adalah merupakan seorang ulama terkemuka di Hadhramaut yang merupakan murid kepada al-‘Arifbillah al-Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi, penyusun Simthud Durar. Dan guru beliau, al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi pernah berkata: Al-Habib Ahmad bin ‘Abdurrahman adalah Imam Wadi al-Ahqaf (Hadhramaut). Ayahanda beliau wafat setelah menunaikan sholat ‘asar, petang hari Sabtu, 4 Muharram 1357. Manakala bonda beliau wafat pada 23 Rajab 1378 iaitu bersamaan dengan hari kewafatannya al-Habib Salim bin Hafidz bin ‘Abdullah, iaitu datuknya Guru Mulia al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz.
اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Isyarat Dari al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi رضي الله عنه وأرضاه: Ketika bonda beliau sedang mengandung dan melahirkan bayi laki-laki, bayi tersebut telah diberi nama ‘Abdul Qadir atas isyarat daripada al-Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi, namun tidak lama kemudiannya bayi tersebut meninggal dunia. Tatkala Syarifah ‘Alawiyyah mengandung lagi dan melahirkan seorang bayi laki-laki, al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi juga mengisyaratkan agar bayi tersebut diberi nama Abdul Qadir. Dan al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi mengatakan bahwa bayi ini kelak akan menjadi orang yang mulia yang mengabdikan hidupnya untuk taat kepada Allah dan menjadi seorang yang dihiasi dengan ilmu, amal dan ihsan.
اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Pendidikan: Al-Habib ‘Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf mendapat pendidikan dari ayahanda beliau sendiri. Menurut cerita yang disampai oleh guru al-Fagir iaitu Baba ‘Abdul Aziz yang berpeluang menziarahi beliau sewaktu menunaikan umrah tahun lepas, beliau berkata: al-Habib al-Qadir bin Ahmad as-Saqqaf, telah mengkhatam ratusan buah kitab ketika usianya masih belasan tahun. Di didik oleh ayahanda beliau sendiri.
Selain daripada belajar dengan ayahandanya beliau juga belajar dari ramai guru lain, antaranya:
  • Syeikh Taha bin Abdullah BaHamid.
  • Syeikh Hasan bin ‘Abdullah BaRaja, ketika di Madrasah an-Nahdhatul ‘Ilmiyyah. Dari guru beliau ini, beliau menghafal al-Quran serta menguasai Qira’ah as-Sab’ah.
  • Al-Habib Umar bin Hamid bin Umar As-Saqqaf
  • Al-Habib ‘Umar bin ‘Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf
  • Al-Habib ‘Abdullah bin Aidarus al-Aidarus
  • Al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi al-Habsyi
  • Al-Habib Hussin bin ‘Abdullah bin ‘Alwi al-Habsyi
  • Al-Habib ‘Abdul Baari bin Syeikh al-Aidarus
  • Al-Habib Muhammad bin Hadi as-Saqqaf (foto atas)
  • Al-Habib ‘Abdullah bin Umar bin Hamid as-Saqqaf
  • Al-Habib Hasan bin Ismail bin as-Syeikh Abi Bakar bin Salim
  • Al-Habib Hamid bin ‘Alwi al-Bar dan ramai lagi

اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Murid-murid beliau: Beliau adalah guru kepada ramai ulama. Tambahan lagi beliau dikurniakan Allah dengan umur yang panjang, maka ramailah ulama yang dapat mengambil faedah dari beliau. Antara murid-murid beliau yang ramai itu, al-Fagir sekadar tahu beberapa nama, antaranya:
  • as-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki رضي الله عنه وأرضاه
  • Al-Habib Zein bin Ibrahim bin Sumaith حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته
  • Al-Habib Salim bin ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syathiri حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته
  • Al-Habib Abu Bakar al-Adni bin ‘Ali al-Masyhur حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته
  • Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz ibn Syeikh Abu Bakar bin Salim حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته
  • Al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Jufri حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته
  • Al-Habib Muhammad bin ‘Abdurrahman as-Saqqaf حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته

اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
T
eman-teman beliau yang telah pergi mendahului beliau: Antaranya:

اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Berdakwah dan menyebarkan ilmu: Setelah kewafatan ayahandanya beliau meneruskan usaha ayahandanya untuk menyebarkan ilmu dan dakwah. Namun apabila Yaman Selatan dikuasai oleh regim komunis, maka keadaan bertukar menjadi sukar. Para ‘alim-ulama tiada lagi kebebasan untuk berdakwah. Dan mereka dijadikan sasaran kekejaman regim komunis.
Pada bulan Rabi’ ats-Tsani tahun 1393, beliau dapat ke Aden dan tinggal di sana selama 1 bulan. Dan setelah itu beliau telah dapat keluar dari tanahairnya yang dikuasai komunis untuk ke Singapura. Pada bulan Jumadilawwal 1393, beliau ke Indonesia.
Dari Indonesia, beliau seterusnya ke bumi Hijaz dan menetap di sana. Dimana beliau berada, tujuannya adalah untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu. Beliau seterusnya meneruskan rehlah dakwahnya ke Lubnan, Syria, Mesir, Nairobi, Kenya, Juzur al-Qamar (Comoros) dan Tanzania. Kemudian kembali ke Kenya dan seterusnya pada bulan Ramadhan 1394 kembali ke bumi Hijaz dan menetap Hijaz. Dan sana, beliau menjadi pengasuh majlis-majlis ta’lim di Mekah, Madinah dan Jeddah.
اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Keperibadian: Selain terkenal sebagai seorang yang ‘alim, beliau juga seorang yang wara, ‘abid, berakhlak mulia. Ketinggian akhlaknya mampu menawan hati sesiapa sahaja. Kedalaman dan keluasan ilmunya, kewarakannya, kebijaksaannya dalam menyampaikan ilmu dan dakwah menyebabkan beliau dikasihi dan dihormati. Pendek cerita, beliau mewarisi sifat-sifat datuknya yang mulia, Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Dikhabarkan bahwa Buya Hamka pernah ziarah kepada beliau sewaktu di Jeddah, dan setelah berbincang dengan beliau, akhirnya Buya Hamka mengakui bahawa Baitun Nubuwwah Bani Zahra min Ali masih wujud dan berkesinambungan dalam darah para saadah Bani Alawi. Allahu Allah.
Mengenai kedalaman ilmunya, al-Fagir pernah diberitahu oleh pamannya al-Habib Sholeh bin Ahmad bin Salim al-Aidarus (maaf …. Al-Fagir lupa namanya …) bahwa al-Habib ‘Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf pernah menjadi rujukan ulama al-Azhar disekitar tahun 70an dahulu.
اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Kewafatan: Beliau رضي الله عنه وأرضاه telah lama uzur. Dan sebelum Fajar hari Ahad, 19 Rabi’al-Akhir 1431H bersamaan 4 April 2010, beliau رضي الله عنه وأرضاه kembali ke rahmatuLlah di Jeddah. Beliau menutup umur pada usia 100 tahun.
sumber : di sini
Tambah Ustaz Muda Popular, Ustaz Syed Abd Qadir Al Joofre dalam websitenya di bawah tajuk Al- Habib Abdul Qadir Assaqqaf dan diriku yang faqir : 
Abah menelefon pagi semalam dengan berita yang sangat menyedihkan. Al-Habib Abdul Qadir Assaggaf meninggal dunia di Jeddah. Saya tanya, pastikah? Kerana keuzuran beliau sejak 10 tahun yang lalu, sudah kerap berita kewafatannya terdengar. Tapi kali ini ia berita yang benar. Berita yang pasti datang jua walaupun kita berharap ia tidak datang.
Al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad Assaggaf tidak perlu saya perkenalkan. Hampir keseluruhan ulama tasawuf bersepakat beliau adalah Qutub (antara maqam tertinggi dalam bidang kesufian) di zaman ini. Dakwah beliau ke seluruh dunia pada masa manusia jauh dari Maha Pencipta.
Terus saya terimbau kenangan berada dalam rohah (majlis ilmu) di rumah beliau di Jeddah 10 tahun yang lalu. Apabila beliau dibawa masuk sahaja ke dalam majlis, terasa satu kelainan yang sangat. Sesiapa sahaja memandang wajah beliau akan mengingati akhirat dan rindukan Rasulullah.
Allah Ta’ala memilihku untuk bersama beliau selepas majlis selesai. Ketika ratusan hadirin lain bersiap untuk pulang, Alhamdulillah saya dipelawa untuk naik ke tingkat atas, bersama beliau di sisi katil beliau di dalam bilik beliau. Tiada lain yang saya pinta ketika itu melainkan doa beliau. Alhamdulillah walau dengan keuzuran, bait-bait doa dan diakhiri “wa ila hadratinnabi”.. jelas kedengaran. Agak lama saya dapat menamani beliau di birai katil. Detik-detik yang sangat indah.
Pertemuan tersebut bukan pertemuan pertama tetapi rupanya pertemuan terakhir secara jasad di alam dunia. Moga kita dapat bersamanya nanti di akhirat bersama menghirup air telaga Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Setiap kali pertemuan dengan beliau, apa yang saya ingat adalah senyuman manis beliau. Kelembutan beliau dalam berbicara. Bait kalimahnya yang sangat teratur lagi mengingatkan Allah dan Rasul. Ketegasan beliau dalam hukum hakam syariat. Bisa bergetar jiwa setiap kali mengucup tangan beliau yang mulia.
Saya dinamakan oleh beliau dengan nama beliau. Saya ditahnik oleh beliau. Air liur beliau yang mulia bercampur dengan air liur saya. Saya bertemu lagi dengan beliau ketika berusia 6 tahun di Kuala Lumpur. Gambar kenangan saya berdua bersama beliau masih tersimpan rapi.  Akhirnya bertemu buat kali terakhir di bilik beliau di Jeddah dan mendapat doa beliau.
Saya faqir dan tiada memiliki apa. Tidak layak saya yang berdosa ini mendapat segala itu. Moga kasih sayang Allah pada beliau tertumpah jua pada diri saya yang hina ini. Itulah yang saya pohon selalu.
Titisan air mata di dalam mimpi malam tadi sangat indah.. Moga ia penghibur hati ini selamanya.. sumber : sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan